2 tahun Taufan Al-Aqsa: Al-Quran dan Pembinaan Jiwa Yang Tidak Mudah Patah

Dalam kehidupan seharian, Al-Quran sering hadir pada waktu-waktu tertentu. Ia dibaca ketika Ramadan, dialunkan sebagai pembuka majlis, atau disusun rapi di rak rumah sebagai tanda keberkatan. Semua itu tak salah namun, Al-Quran sebenarnya diturunkan untuk sesuatu yang lebih besar daripada sekadar ritual. Ia diturunkan untuk membentuk cara kita melihat hidup, memahami ujian, dan berdiri ketika jiwa digoncang.

Bagi mereka yang melalui ujian berat, kehilangan orang tersayang, tekanan hidup yang berpanjangan, atau keadaan yang menyesakkan, Al-Quran tidak lagi berada di pinggir kehidupan. Ia menjadi pusatnya. Di situlah Al-Quran berperanan sebagai manual kehidupan, membimbing jiwa agar tidak hanyut ketika ombak datang bertubi-tubi.

Al-Quran tidak menjanjikan hidup yang sunyi daripada ujian. Sebaliknya, ia mendidik manusia agar bersedia dengan hakikat tersebut. Allah berfirman, “Apakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan berkata ‘kami beriman’ tanpa diuji?” (Surah Al-‘Ankabut: 2). Ayat ini membentuk jiwa yang memahami bahawa ujian bukan tanda penolakan, tetapi sebahagian daripada proses pembentukan iman. Ia melahirkan hati yang berlapang dada menerima penyusunan Allah, bukan jiwa yang memberontak apabila hidup tidak berjalan seperti yang dirancang.

Jiwa yang cekal tidak lahir daripada kehidupan yang sentiasa tenang dan ketenangan tanpa ujian tidak melatih kesabaran, dan keselesaan yang berpanjangan tidak mengajar kita untuk bergantung kepada Allah. Al-Quran mengingatkan bahawa dunia ini bukan destinasi terakhir. Ia hanyalah persinggahan yang sementara, seperti yang disebut dalam firman-Nya, “Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau.” (Surah Al-Hadid: 20). Apabila hakikat ini meresap ke dalam jiwa, ujian tidak lagi dilihat sebagai kehancuran, tetapi sebagai medan amal untuk bertumbuh dan didewasakan.

Di sinilah Gaza telah memberi kita satu pelajaran yang sangat mendalam. Setelah 2 tahun Taufan al Aqsa, dalam keadaan hampir tiada apa-apa untuk digenggam, Al-Quran menjadi tempat berpaut. Pada September 2025, Gaza telah melahirkan seramai 581 para huffaz dan ribuan lagi yang masih dalam perjuangan huffaz mereka. Rakyat Gaza berpegang bahawa kemerdekaan hanya akan dicapai dengan al-Quran. Ayat-ayat Allah dibaca di tengah runtuhan, di dalam khemah, dan dalam suasana yang penuh ketidakpastian. Al-Quran hadir sebagai kekuatan yang senyap namun kukuh.

Kehidupan kita mungkin berbeza. Kita tidak melalui kehancuran fizikal seperti mereka, tetapi kita berdepan dengan ujian yang berbeza, keletihan jiwa, tekanan hidup, kekosongan makna dan keresahan yang sukar dijelaskan. Dalam keadaan ini, Al-Quran sering terasa jauh, bukan kerana ia tidak relevan, tetapi kerana kita belum benar-benar mendekatinya sebagai panduan hidup. Lalu apabila ujian datang, hati menjadi gelisah dan fikiran mudah buntu.

Sedangkan Al-Quran mendidik jiwa agar tenang terlebih dahulu sebelum mencari jalan keluar. Allah berfirman, “Ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra‘d: 28). Ketenangan inilah yang menjadi asas kepada jiwa yang cekal—tenang untuk berfikir, sabar untuk melangkah, dan yakin bahawa setiap ujian ada hikmahnya.

Apa yang membentuk ketahanan jiwa di Gaza bukan formula yang rumit atau eksklusif. Formula yang sama sebenarnya terbuka untuk kita semua. Ia bermula apabila Al-Quran didekati dengan hati yang ingin dibimbing, apabila ayat-ayatnya dibaca sebagai mesej yang hidup untuk hari ini, dan apabila kita kembali kepadanya bukan hanya ketika hidup terasa lapang, tetapi juga ketika kita jatuh dan hilang arah.

Seruan untuk kembali kepada Al-Quran bukanlah seruan emosi yang bersifat sementara. Ia adalah seruan tarbiah, satu projek pembinaan jiwa yang mengambil masa dan kesabaran. KDT percaya bahawa apabila Al-Quran kembali membentuk jiwa, umat ini tidak mudah dipatahkan walau diuji berulang kali. Kita mungkin tidak diuji dengan kehancuran seperti Gaza, tetapi ujian kelalaian dan keselesaan juga menuntut jiwa yang kuat untuk melawannya.

Dunia hari ini tidak kekurangan maklumat, nasihat dan motivasi. Namun apa yang semakin berkurang ialah jiwa yang benar-benar teguh. Jiwa seperti ini tidak lahir daripada kata-kata semangat semata-mata, tetapi daripada hubungan yang hidup dengan kalam Allah. “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus.” (Surah Al-Isra’: 9).

Jika mereka yang diuji hebat memilih Al-Quran sebagai sandaran hidup, maka Al-Quran juga mampu menjadi sandaran kita. Bukan untuk menjadikan kita sempurna, tetapi untuk menjadikan kita lebih tenang, lebih kuat, dan lebih bersedia menghadapi kehidupan.

Tabung Bangun Gaza
Ayuh hulurkan bantuan untuk bangunkan semula Gaza, Palestin
Infaq Sekarang