Anak muda kita bukan rosak secara kebetulan. Mereka ini sebenarnya sedang ditempa saat demi saat, skrol demi skrol oleh apa sahaja yang memasuki deria mata, telinga, mulut dan hati mereka. Ibarat logam cair di dalam relau, mereka akan mengambil bentuk mengikut acuan yang paling lama dan paling kuat memegang mereka.
Dan jika kita; tidak kiralah ibu bapa, guru, masyarakat yang kekal leka membiarkan acuan itu dipegang oleh pihak lain, risiko yang terbentuk secara senyap ini akan runtuh suatu hari, sepantas glasier raksasa di puncak gunung yang mencair dan menghempap apa sahaja di bawahnya tanpa amaran.
Sungguh apa yang dilihat, dibaca, diskrol dan difikirkan oleh seorang anak bukan perkara remeh atau neutral, bahkan semuanya adalah “makanan” kepada fitrah mereka, dan fitrah itu terlalu mudah dicorakkan.
Rasulullah ﷺ ada bersabda:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap anak dilahirkan di atas fitrah (suci), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia seorang Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim)
Hadis ini bukan sekadar highlight tentang ibu bapa namun ia satu prinsip yang besar. Fitrah anak terlalu lembut, dan ia akan dicorak oleh apa sahaja yang paling rapat dan paling kerap menyentuhnya. Hari ini, “penyentuh” itu bukan sekadar ibu bapa bahkan ia termasuk algoritma, skrin, dan setiap saat skrol di hujung jari.
Allah SWT turut mengingatkan tentang penjagaan pandangan:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
“Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan sebahagian daripada pandangan mereka…”
Apabila mata dibiarkan bebas melihat apa sahaja tanpa tapisan, hati turut terbentuk mengikut apa yang dilihat. Begitu juga berkaitan makanan, ia bukannya sekadar halal-haram fizikal, tetapi “makanan minda” yang dibaca dan ditelan setiap hari:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik…”
(Surah al-Baqarah, 2:168)
Manusia secara umumnya dan lebih-lebih lagi anak muda akan meniru dan mengambil bentuk daripada siapa yang paling rapat dengan mereka. Sama ada kawan, idola, dan role model.
Dan jika ibu bapa sendiri tidak menjadi contoh yang selari dengan apa yang mereka mahukan kemenjadian anak nya, pembentukan itu akan diambil alih oleh sudut-sudut yang lain.
Nabi ﷺ memberi perumpamaan yang sangat tepat untuk menggambarkan kesan-kesan kawan:
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ…
“Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi, ada kemungkinan dia memberimu, atau kamu membelinya daripadanya, atau sekurang-kurangnya kamu dapat bau harum daripadanya. Manakala tukang besi, ada kemungkinan ia membakar pakaianmu, atau sekurang-kurangnya kamu akan mendapat bau busuk daripadanya.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim)
Sila perhatikan bait bait perumpamaan ini sendiri menggunakan terma “tukang besi” atau “relau”! Ini menunjukkan betapa dekatnya kaitan antara siapa yang mengelilingi seseorang, dengan bentuk / pembentukan akhir peribadinya persis logam yang ditempa oleh api dan acuan tukang besi.
Rasulullah ﷺ bersabda lagi:
الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
“Seseorang itu berada di atas cara hidup (agama) sahabat karibnya, maka hendaklah setiap kamu memerhatikan siapa yang dijadikan sahabat karib.”
Berkenaan perbincangan idola, Allah SWT menegaskan bahawa persahabatan yang tidak berlandaskan takwa akan berakhir dengan permusuhan:
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
“Sahabat-sahabat karib pada hari itu, setengahnya menjadi musuh kepada setengah yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa.”
(Surah az-Zukhruf, 43:67)
Jika kawan, idola dan siapa yang diikuti di media sosial tidak berlandaskan takwa, maka itulah acuan yang sedang membentuk anak-anak kita sekalipun ibu bapa mereka sendiri soleh sekalipun.
Asas paling utama yang menentukan sama ada bangunan iman seorang anak itu kukuh atau rapuh adalah ibadah harian mereka dalam menjaga wuduk dan solat. Jika perkara asas ini diabaikan sedangkan segala-galanya di sekeliling mereka terus mencorak minda mereka ke arah lain, risiko yang terkumpul serta terbina ini tidak akan memberi amaran sebelum ia runtuh-seruntuhnya.
Rasulullah ﷺ bersabda tentang kedudukan – ketinggian solat:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ
“Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab daripada amalan seorang hamba pada hari kiamat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka berjayalah dan beruntunglah dia…”
Solat bukan sekadar ritual, namun ia adalah “benchmark” akhir sama ada seluruh pembentukan (apa yang dilihat, dimakan, dibaca, kawan yang dipilih) berjaya menghasilkan seorang hamba yang taat, atau sebaliknya.
Allah SWT juga meletakkan tanggungjawab menjaga keluarga daripada kerosakan sebagai satu perintah hakiki dan jelas, bukannya sebuah pilihan:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…”
Dan akhir sekali, gambaran “glasier yang mencair” amatlah selari dengan amaran Rasulullah ﷺ tentang fitnah / azab yang datang tanpa disedari:
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ
“Segeralah beramal soleh sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti serpihan malam yang gelap gelita…”
Fitnah / azab yang disebutkan sama seperti glasier yang terbentuk secara perlahan, senyap, dan tidak kelihatan sehinggalah ia runtuh dan menghentam semuanya sekali gus.
Itulah sebabnya Baginda menyeru untuk “bersegera” kerana apabila ia jatuh serta menghentam, sudah terlambat untuk melakukan apa apa.
Anak muda kita hari ini ibarat logam cair di dalam relau. Di mana sentiasa dalam keadaan boleh dibentuk, dan sentiasa mengambil rupa acuan yang paling rapat dan paling kerap menyentuh mereka. Sama ada acuan itu dipegang oleh ibu bapa yang sedar dan solat yang dijaga, atau oleh algoritma, kawan yang salah dan idola yang kosong tidak bermnafaat hasilnya tetap sama, mereka tetaplah akan jadi seperti acuan itu.
Dan sepertimana glasier yang mencair senyap-senyap mahupun mengejut di puncak gunung, risiko yang kita abaikan hari ini tidak akan menunggu untuk memberi amaran. Ia akan runtuh menghimpap dan ketika ia jatuh, ia menghentam bukan sahaja anak itu sendiri, tetapi seluruh keluarga dan generasi yang datang selepasnya.
Anak muda generasi kehadapan kita memang sudah pasti akan dibentuk cuma persoalannya adalah, siapa yang memegang acuan itu sebelum glasier itu runtuh dan menghentam segalanya?