Bagaimana Orang Buta Melihat Dunia

 Terdapat lebih daripada 40 juta orang buta direkodkan di seluruh dunia, manakala 250 juta lagi mengalami masalah penglihatan, termasuk buta dan rabun. Menurut pendataan Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PBOBM), di Malaysia sahaja, terdapat 100,000 orang buta penglihatan tapi hanya 50,000 yang berdaftar. Kehidupan mereka yang buta atau menghadapi masalah penglihatan sering menjadi persoalan menarik bagi ramai. Bagaimana orang buta melihat dunia?

Bagi individu yang mempunyai penglihatan sempurna seperti kita, sukar untuk membayangkan hidup tanpa cahaya, warna, dan bentuk. Namun, Allah Al-Khaliq (Yang Maha Menciptakan) tidak pernah meninggalkan hamba-Nya begitu sahaja. Allah memberi ilham kepada manusia dengan kaedah lain untuk membantu orang buta ‘melihat’ dunia melalui indera yang berbeza. Dengan itu terdapat pelbagai teknologi yang dibangunkan bagi membantu orang buta untuk “melihat” dunia.

Dengan rasa syukur atas setiap ujian dan nikmat Allah s.w.t., golongan buta penglihatan tetap menyimpan hasrat yang besar untuk membaca Al-Quran dan mendalami agama Islam. Mereka tidak mahu ketinggalan dalam mencari keredaan Ilahi serta meraih ganjaran di akhirat. Malah, mereka ingin menjadi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang celik Al-Quran.

Cabaran Utama dalam Mempelajari Al-Quran bagi Orang Buta Penglihatan

Mempelajari Al-Quran adalah satu tuntutan agama yang penting bagi umat Islam. Namun, bagi orang buta penglihatan, proses ini jauh lebih rumit dan memerlukan adaptasi khusus. Salah satu inisiatif yang membantu ialah penghasilan Al-Quran Braille, yang membolehkan mereka membaca Al-Quran. Walau bagaimanapun, harga yang tinggi menjadi salah satu halangan terbesar. Satu jilid Al-Quran Braille yang hanya mengandungi 5 juzuk, harganya mencecah ratusan ringgit. Kos yang tinggi ini menyukarkan akses bagi golongan buta penglihatan, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Selain daripada kos quran braille yang tinggi, terdapat pelbagai cabaran lain yang menjadi penghalang untuk golongan buta penglihatan belajar mengaji al-Quran, antaranya,

  1. Keterbatasan Akses kepada Al-Quran Braille

Walaupun Al-Quran Braille wujud, tidak semua komuniti mempunyai akses mudah kepadanya, terutama di kawasan luar bandar atau di kawasan yang kurang maju dalam negara.

  • Pengeluaran dan Pengedaran Terhad: Mencetak Al-Quran Braille memerlukan kos yang tinggi kerana saiznya yang besar dan banyak jilid. Ini menyebabkan naskhah Al-Quran Braille kurang tersedia di masjid atau institusi pendidikan yang lebih kecil. Selalunya kemudahan quran braille hanya terdapat di beberapa institusi di kawasan ibu kota yang disediakan oleh pelbagai NGO. Namun kemudahan ini terhad di kawasan luar bandar.

 

  1. Kesukaran Membaca Braille

Bagi mereka yang dilahirkan buta, membaca Braille mungkin menjadi kemahiran asas yang perlu dipelajari sejak kecil. Namun, bagi mereka yang mengalami buta penglihatan pada usia dewasa, mempelajari Braille untuk membaca Al-Quran adalah satu cabaran besar.

  • Pembacaan Braille Melibatkan Sentuhan Halus: Mereka memerlukan latihan intensif untuk mengembangkan sensitiviti deria sentuhan yang cukup untuk membaca teks Braille dengan lancar. Proses ini memakan masa dan memerlukan kesabaran, terutamanya bagi mereka yang baru kehilangan penglihatan.

 

  1. Bergantung pada pendengaran untuk menghafaz al Quran

Menghafaz Al-Quran adalah amalan mulia dalam kalangan umat Islam. Namun, bagi orang buta penglihatan, proses ini memerlukan pendekatan yang berbeza, iaitu bergantung lebih banyak kepada pendengaran.

  • Kebergantungan kepada bantuan audio: Bagi orang buta yang belajar al-Quran mereka menggunakan rakaman audio Al-Quran untuk mengulang bacaan dan menghafaz. Proses ini memerlukan usaha yang lebih besar berbanding mereka yang boleh melihat teks secara langsung. Aplikasi audio al-Quran di telefon bimbit dapat membantu mereka untuk menghafal al-Quran mengikut cara bacaan qori pilihan mereka.

 

  1. Kekurangan Guru Terlatih

Walaupun terdapat Al-Quran Braille dan teknologi bantu, kekurangan guru yang terlatih dalam mengajar Al-Quran kepada orang buta adalah cabaran besar. Tidak semua guru agama mahir dalam Braille, dan mereka perlu menguasai teknik pengajaran khas yang melibatkan sentuhan dan panduan audio yang jelas.

  • Pendekatan Pengajaran Berbeza: Mengajar orang buta memerlukan kesabaran dan teknik khusus, terutamanya dalam penyampaian dan pemahaman tajwid serta makhraj.

 

Usaha untuk Membantu Orang Buta Mempelajari Al-Quran

Meskipun banyak cabaran, usaha untuk membantu orang buta penglihatan mempelajari Al-Quran semakin berkembang. Antara usaha ini termasuk:

  • Penghasilan Al-Quran Braille Secara Lebih Meluas: Banyak negara Islam dan organisasi kebajikan giat menghasilkan dan menyebarkan Al-Quran Braille ke seluruh dunia.
  • Aplikasi dan Teknologi Audio: Aplikasi Al-Quran dengan bacaan audio dan alat bantu hafalan serta tajwid semakin berkembang. Alat Braille elektronik juga diperkenalkan untuk memudahkan pembacaan Al-Quran.
  • Institusi Pendidikan Khas: Sekolah-sekolah agama khas untuk orang buta kini menawarkan kelas Al-Quran yang direka khusus. Guru-guru terlatih dalam Braille semakin banyak dilatih untuk memenuhi keperluan komuniti ini.

Mempelajari Al-Quran bagi orang buta penglihatan adalah satu perjalanan penuh cabaran, tetapi juga penuh harapan. Walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan, usaha berterusan dalam menyediakan sumber dan sokongan membolehkan orang buta mencapai impian untuk celik Al-Quran. Usaha gigih ini tidak hanya membuka pintu untuk mereka mendalami agama, tetapi juga memperkukuhkan hubungan mereka dengan Allah s.w.t. dalam mengejar keredaan-Nya.

MAKTAB TARBIAH
Ayuh hulurkan bantuan untuk memberikan pendidikan bagi mereka yang memerlukan
Infaq Sekarang