
Masalah sosial dalam kalangan remaja wanita kini sering dikaitkan dengan krisis psikososial, dibelenggu ketagihan, serta gaya hidup negatif dalam persekitaran sosial. Mereka berhadapan dengan cabaran dalam penerimaan diri, bimbingan agama yang lemah, dan sokongan emosi.
Dalam usaha menyemarakkan dakwah dan membimbing masyarakat ke arah kefahaman Islam yang lebih mendalam, program Jelajah Dakwah al-Riqab telah menjadikan Darul Wardah sebagai destinasi terkini dalam siri lawatannya. Program ini bukan sekadar sebuah ziarah, tetapi satu perjalanan penuh makna untuk menyampaikan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya melalui wahyu-Nya yang agung, Al-Quran.
Bertemakan “Surat Cinta: Daripada Khaliq ke Makhluk”, program ini memberi fokus kepada penghayatan Al-Quran sebagai pedoman hidup. Dengan kehadiran Ustazah jemputan iaitu Ustazah Fatimah Syarha, dan perwakilan kami daripada Komuniti Dakwah Tarbiah, sesi perkongsian berlangsung dengan penuh keinsafan dan kehangatan ukhuwah Islamiah. Penghuni Darul Wardah, yang terdiri daripada wanita yang diuji dengan pelbagai cabaran kehidupan, menerima kunjungan ini dengan hati yang terbuka dan penuh rasa syukur.
Pada 4 Februari 2025 yang lalu, Komuniti Dakwah Tarbiah telah menjalankan Jelajah Dakwah al-Riqab iaitu satu sesi perkongsian bersama para pelatih Darul Wardah untuk membina persepsi hidup yang baru, yang mengambil Al-Quran sebagai dorongan dan harapan untuk berubah menjadi insan yang lebih diredhai oleh Allah s.w.t.
Dalam sesi tazkirah yang disampaikan, para pelatih didedahkan dengan hakikat bahawa Al-Quran bukan sekadar kitab suci, tetapi ia adalah ‘surat cinta’ daripada Pencipta kepada hamba-Nya. Ia menjadi petunjuk, penawar hati, dan sumber kekuatan bagi mereka yang mendekatinya. Antara ayat yang dikongsikan adalah firman Allah dalam Surah Az-Zumar, ayat 53:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)
Ayat ini menjadi penyuluh bagi sesiapa yang merasa jauh daripada rahmat Allah, memberikan harapan bahawa pintu taubat sentiasa terbuka.
Selepas sesi tazkirah, kami memberi laluan kepada para pelatih untuk bertanyakan beberapa soalan yang diperlukan untuk meneguhkan lagi kefahaman mereka berkenaan perkongsian yang disampaikan oleh ustazah Fatimah. Antara soalan yang diajukan kepada ustazah adalah, “Adakah masih ada harapan untuk saya masuk syurga?”, “Bagaimana saya ingin menjadi kuat dengan kata kata orang awam yang memandang saya sebagai wanita pendosa..”
Dan banyak lagi. Soalan ini saya kira bukan sahaja untuk mereka, tapi soalan ini juga untuk kita semua yang bergelar umat islam. Kita semua tidak lari daripada melakukan dosa dan kita juga amat memerlukan dorongan dan keyakinan untuk tetap mencari pengampunan Allah agar kita akhirnya menjadi hamba-Nya yang sentiasa diredhai.
Dalam sesi perkongsian pengalaman, beberapa penghuni Darul Wardah meluahkan perasaan dan perjalanan mereka kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar. Kisah-kisah keinsafan ini menjadi iktibar dan motivasi kepada semua yang hadir untuk terus berpegang teguh kepada ajaran Islam, walau apa jua rintangan yang dihadapi.
Jelajah Dakwah al-Riqab di Darul Wardah bukan sekadar sebuah program biasa, tetapi ia adalah sebuah usaha berterusan dalam menyampaikan mesej Islam yang syumul. Melalui pendekatan yang lebih empati dan penuh kasih sayang, program ini berjaya menyentuh hati para pelatih dan memberikan sinar baru dalam kehidupan mereka.
Harapan besar diletakkan agar usaha seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak institusi dan komuniti yang memerlukan. Dakwah bukan hanya tentang menyampaikan ilmu, tetapi juga tentang memahami, menyantuni, dan membawa perubahan yang positif dalam kehidupan insan lain.
Semoga setiap langkah dalam perjalanan dakwah ini diberkati Allah SWT dan menjadi asbab hidayah kepada lebih ramai insan untuk kembali kepada-Nya. Amin.
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.