![](https://komunitidakwahtarbiah.com/wp-content/uploads/2025/01/photo_2025-01-15_10-37-07-300x300.jpg)
Gaza kini mencatat rekod paling tragis sebagai kawasan dengan kadar kanak-kanak amputasi tertinggi per kapita di dunia, akibat serangan yang berterusan oleh rejim Zionis. Laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa lebih daripada 1,000 kanak-kanak telah kehilangan anggota badan mereka sejak konflik bermula, menjadikan Gaza simbol penderitaan kanak-kanak dunia akibat peperangan.
5 negara tertinggi kanak-kanak cacat di dunia
Situasi ini memperlihatkan peningkatan serangan tanpa belas kasihan terhadap penduduk Gaza yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, golongan rakyat yang tidak mampu untuk berperang dan melawan tentera Israel. Situasi ini bukan hanya suatu catatan tragedi kemanusiaan tetapi memperlihatkan pengabaian total terhadap hak asasi bayi dan kanak-kanak yang tidak dipeduli langsung oleh Israel dan apa tindakan yang telah dilakukan ini dilabelkan sebagai pembunuhan dan penghapusan etnik.
Mengikut laporan terbaru, dalam tempoh 24 jam setiap hari, serangan Israel meragut nyawa tidak kurang 30 orang penduduk Gaza. Insiden ini menambah jumlah kematian yang sudah mencecah puluhan ribu orang sejak konflik berlaku. Baru-baru ini, bebuli besi ditemui dari kecederaan pengarah Hospital Kamal Adwan setelah berjaya dirawat,. Laporan ini mengukuhkan dakwaan penggunaan senjata larangan antarabangsa dalam serangan Israel terhadap rakyat Gaza dan ini akan memperburukkan trauma fizikal dan psikologi di kalangan mangsa, terutamanya kanak-kanak.
Sistem kesihatan di Gaza juga menghadapi krisis terburuknya, dengan lebih 553,000 kes penyakit berjangkit dilaporkan akibat kebersihan yang terjejas, kekurangan air bersih, dan penempatan yang terlampau sesak. Kekurangan bekalan makanan dan perubatan turut memburukkan lagi keadaan, menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada klinik-klinik yang dibina sementara yang tidak mampu menampung jumlah pesakit yang tinggi.
Kekurangan dalam sistem Kesihatan di Gaza, penyakit seperti hepatitis A, radang paru-paru, dan cirit-birit kini menjadi ancaman besar kepada kehidupan kanak-kanak selain daripada peluru dan bom Israel. Ketidakupayaan sistem kesihatan dalam menampung jumlah mangsa yang tinggi mencerminkan kekangan akibat sekatan yang dikenakan terhadap Gaza. Selain kecederaan fizikal, kanak-kanak yang terselamat kini hidup dalam keadaan trauma berpanjangan, menyaksikan kemusnahan keluarga dan persekitaran mereka.
Dengan hampir semua infrastruktur utama dimusnahkan, termasuk hospital dan pusat rawatan. Gaza sangat terdesak dan memerlukan bantuan kemanusiaan segera dari segala sudut. Masyarakat dunia perlu segera bertindak supaya Gaza terselamat daripada bencana kemanusiaan ini, menyelamatkan 2.2 juta penduduk Gaza dikepung tanpa akses yang cukup, situasi yang diibaratkan oleh pakar PBB sebagai krisis kemanusiaan yang boleh membawa kepada genosid etnik secara total, jika tidak ditangani segera.
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.