
Fitrah lelaki dan perempuan sememangnya dihiasi dengan kecenderungan terhadap keindahan duniawi. Hal ini disebutkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:
زُیِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَ ٰتِ مِنَ ٱلنِّسَاۤءِ وَٱلۡبَنِینَ وَٱلۡقَنَـٰطِیرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَیۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَ ٰلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
– Surah Aali-ʿImran: 14
Walau bagaimanapun, Allah SWT turut memberi amaran bahawa kasih sayang terhadap wanita (sama ada isteri atau anak perempuan) berpotensi menjadi ujian besar.
Sekiranya tidak dipandu dengan iman, rasa cinta ini boleh menjerumuskan para suami atau bapa ke kancah maksiat, melalaikan mereka daripada amal soleh, bahkan menjadikan wanita tersebut sebagai “musuh” yang menghalang ketaatan kepada Allah.
Lihat sahaja perumpamaan yang Allah rakamkan tentang isteri-isteri utusan-Nya:
ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلࣰا لِّلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱمۡرَأَتَ نُوحࣲ وَٱمۡرَأَتَ لُوطࣲۖ كَانَتَا تَحۡتَ عَبۡدَیۡنِ مِنۡ عِبَادِنَا صَـٰلِحَیۡنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمۡ یُغۡنِیَا عَنۡهُمَا مِنَ ٱللَّهِ شَیۡـࣰٔا وَقِیلَ ٱدۡخُلَا ٱلنَّارَ مَعَ ٱلدَّ ٰخِلِینَ
“Allah mengemukakan satu misal perbandingan bagi orang-orang kafir, iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami; dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan dikatakan kepada mereka berdua: Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ).”
– Surah at-Taḥrim: 10
Kita semua sudah maklum bahawa kesan ketaksuban cinta membutakan kebenaran dan hakikat. Di alam realiti, kecintaan yang membuta tuli terhadap wanita sering kali menyebabkan segelintir lelaki tewas dengan prinsip agama. Ada suami yang sanggup terjebak dengan perbuatan haram seperti menerima rasuah dan menyeleweng, semata-mata demi memenuhi tuntutan gaya hidup mewah isteri yang disayangi.
Lebih menyedihkan, ada ketua keluarga yang dayus dengan membiarkan anak perempuan atau isterinya berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram, mendedahkan aurat, serta berpakaian menjolok mata untuk tatapan umum tanpa rasa bersalah.
Tegasnya baginda nabi, Rasulullah SAW dalam mengingatkan kita semua perihal ini:
“Wanita itu aurat, apabila dia keluar rumah, syaitan terus memandangnya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehinggalah terjadinya fitnah).”
– Hadis Riwayat at-Tirmizi
Dalam sabda Nabi Saw yang lain:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, jangan sekali-kali berdua-duaan dengan wanita (bukan mahram) tanpa disertai oleh mahramnya kerana yang ketiga adalah syaitan.”
– Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim
Sebagai seorang lelaki yang diangkat menjadi pemimpin (qawwam), menjadi tanggungjawab utama untuk membimbing dan mendidik wanita di bawah tanggungan anda agar mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.
Jangan biarkan hidup melarat di dunia dan akhirat hanya kerana tunduk kepada desakan nafsu dan tuntutan yang salah.
Didiklah ahli keluarga agar menjadi wanita solehah, dan sentiasalah berwaspada dengan godaan yang mampu memusnahkan bekalan akhirat kita.
Moga kita semua kekal dalam Tawfiq dan Hidayahnya.
Sumber: FB – Anwar Syahir

Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.