Kesombongan Hati, Serta Bangga Diri dengan Dosa

Manusia sering kali diuji dengan ego. Antara tanda kesombongan jiwa yang paling parah adalah apabila hati tertutup rapat daripada menerima teguran, dan lisan menolak untuk mendengar nasihat.
Bukan sekadar menolak teguran, malangnya ada dalam kalangan kita yang apabila diajak kepada kebaikan, ego mereka tercabar dan mereka membalasnya dengan meneruskan maksiat secara lebih berani dan terang-terangan.
Sudah jelas kesombongan yang menjeremuskan kita semua ke lembah kehinaan. Sikap sebegini telah lama dirakamkan dan diberi amaran keras oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Ia adalah sifat mereka yang membiarkan dosa menjadi perisai keegoan diri.

وَإِذَا قِيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ ۚ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ
Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepadanya: ‘Bertaqwalah engkau kepada Allah’ timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.”
– Surah al-Baqarah, Ayat 206

Ayat ini jelas menggambarkan realiti golongan yang dibutakan oleh kesombongan. Nasihat yang sepatutnya menjadi ubat, dianggap sebagai racun yang mencabar kedudukan mereka.
Jangan sesekali kita pandang remeh merebakkanya dosa-dosa kecil. Sering kali, kesombongan ini bermula daripada sikap meremehkan dosa-dosa kecil. Mereka menganggap kesalahan yang dilakukan tidak memberi kesan apa-apa, lalu ia bertumpuk menjadi barah yang membinasakan.

Ingatlah akan ancaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang memandang remeh serta bermudah kepada dosa:
“Berhati-hatilah kamu terhadap dosa kecil, sebab jika berkumpul dalam diri seseorang, ia (dosa kecil itu) akan membinasakannya.”
– HR Ahmad dan Thabrani

Jika dosa kecil sahaja sudah cukup membinasakan apabila ia terkumpul, apatah lagi jika seseorang itu melakukan dosa besar dan menayangkannya kepada umum dengan rasa bangga?
Ramai dari kita ada padanya sindrom “Bangga” dengan maksiat yang dilakukannya. Individu yang bangga dengan dosa bererti dia sudah lupa betapa bahayanya azab Allah.
Perasaan gembira, senang, dan seronok tatkala dapat melampiaskan keinginan yang sudah terlarang adalah petanda matinya jiwa dan hati nurani.

1) Hilangnya Niat Bertaubat: Rasa bermudah mudah terhadap sesuatu kemaksiatan menunjukkan masih kuatnya keinginan untuk melakukannya, dan membuktikan tiada rasa kesal di dalam hati.
2) Terjebak dalam Kitaran Dosa: Jika kealpaan dan kelalaian seperti ini dibiarkan membarah, ia akan membawa dan mengheret seseorang untuk terus bergelumang dalam maksiat tanpa rasa bersalah.
3) Hati yang Keras: Pada tahap yang kritikal, mereka akan berasa tenang dengan perbuatan salah dan bertekad menjadikannya amalan atau gaya hidup bergenerasi.

Wahai ummah sejagat kembalilah, bertaubatlah sebelum kalian terlewat.

Jangan sesekali membiarkan diri merasa santai, sedap dan lazat dengan dosa serta maksiat yang sedang dilakukan. Kelazatan dosa itu hanyalah tipu daya sementara yang akan mengikat jiwa ke dalam kegelapan yang lebih pekat.
Bertaubatlah. Apa yang paling dibimbangkan adalah apabila kita sudah terlalu jauh melangkah ke lembah kemaksiatan, hati menjadi terlalu gelap sehingga kita tidak lagi menjumpai jalan untuk berpatah balik.
Tundukkan ego, terimalah nasihat dengan hati yang lapang. Semoga Allah SWT melembutkan hati kita semua dan mengurniakan tawfiq serta hidayah agar sentiasa menemui jalan pulang yang diredhai-Nya.

Sumber: FB – Anwar Syahir

Tabung Bangun Gaza
Ayuh hulurkan bantuan untuk bangunkan semula Gaza, Palestin
Infaq Sekarang