Kuasa Besar Dunia vs Pemilik Dunia dan Seisinya: Hakikat Perlindungan Allah kepada Orang Beriman dan Beramal Soleh

“(Ingatlah) ketika orang-orang (kafir) berkata kepada mereka (orang-orang mukmin): Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, sebab itu takutlah kepada mereka. Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.”
— Surah Ali ‘Imran, ayat 173

Ketika dunia menyaksikan bumi Gaza yang kecil dan sempit itu dibedil tanpa henti oleh kuasa-kuasa besar dunia dengan segala kekuatan teknologi, persenjataan canggih, dan sokongan kewangan berbilion dolar, ramai pasti yang tertanya, bagaimana masih ada yang terus berdiri? Bagaimana mungkin rakyatnya yang telah dikepung dan diseksa selama lebih 78 tahun, masih mampu memegang senyum, menegakkan solat, dan menyerahkan jiwa mereka dengan tenang kepada Allah?

Jawapannya ada pada satu kalimah agung: “Hasbunallahu wa ni’mal wakeel.”
Cukuplah Allah sebagai Penolong kami, dan Dia sebaik-baik Pelindung.

Kita hidup dalam zaman di mana negara-negara kuasa besar sering digambarkan sebagai “tuhan-tuhan moden”, mereka memiliki senjata nuklear, sistem pengawasan canggih, kawalan ekonomi global, bahkan pengaruh politik dan budaya yang menakutkan. Mereka boleh meruntuhkan kerajaan, mengubah undang-undang antarabangsa, atau menjadikan yang salah kelihatan benar.

Namun, mereka bukan Tuhan. Mereka hanyalah makhluk yang kelihatan kuat dan berkuasa tapi hakikatnya mereka amatlah lemah, cukup pada hakikat yang mereka  bergantung kepada oksigen yang dimiliki dan hanya taat pada aturan Allah swt. Tanpa keizinan daripada Allah, maka oksigen yang disangka sentiasa tersedia ada pun takkan dapat dihirup mereka. Mereka juga tak mampu menahan gempa kecil, tak mampu mengelak mati, dan pastinya tak mampu melawan kehendak Pemilik langit dan bumi.

Dalam Surah al-Ma’idah ayat 11, Allah mengingatkan kita tentang satu hakikat:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوٓا۟ إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ ١١

Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.

Ayat ini mengajarkan bahawa perlindungan Allah itu nyata dan lebih kuat dari segala kekuatan fizikal yang ada di langit mahupun di bumi. Gaza tidak bertahan kerana roket mereka hebat, atau kerana terowong bawah tanah yang canggih. Mereka bertahan kerana Allah yang menahan tangan musuh, dan menyemai ketenangan dalam hati mereka yang beriman.

Dalam menghadapi musibah yang besar, kita lihat dua reaksi, samaada kita menjadi panik atau tenang. Orang beriman yang benar-benar menyerah diri kepada Allah akan menghadapi ujian dengan dada yang lapang dan jiwa yang tenteram. Mereka faham bahawa dunia ini bukan tempat menetap melainkan ia hanyalah  tempat ujian.

Janji Allah itu sangat jelas:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ كَمَا ٱسْتَخْلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka…”
(Surah an-Nur ayat 55)

Perlindungan Allah bukan semata-mata dalam bentuk dinding kebal atau peluru yang tersasar, tetapi juga dalam bentuk keteguhan iman, kesabaran yang luar biasa, dan ketenangan yang mengalahkan ketakutan.

Gaza hanyalah satu contoh kecil di mata dunia, tetapi besar nilainya di sisi Allah. Di sebalik peristiwa itu, Allah sedang mendidik umat Islam seluruh dunia bahawa apabila seorang mukmin meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah, maka tiada kuasa di dunia ini yang patut ditakuti. Berjihadlah dengan sebenar-benar iman, kerana di situlah terletaknya pintu kepada pertolongan dan kemenangan hakiki daripada Allah SWT. Dan apabila iman telah bertapak dalam jiwa, teguhkanlah ia dengan amal-amal soleh yang menjadi perisai dan benteng perlindungan ketika berhadapan dengan musuh. Jika seluruh dunia menentang kamu, namun Allah bersama kamu — maka kamu pasti menang, kerana kekuatan sebenar tidak datang daripada jumlah, senjata, atau suara, tetapi daripada keyakinan bahawa Allah sentiasa cukup untuk hamba-Nya.

Hari ini dunia sedang menyaksikan satu kebangkitan rohani di tengah kehancuran fizikal. Dunia sedang melihat bahawa kuasa sebenar bukan pada drone, tetapi pada keimanan. Bukan pada peluru berpandu, tetapi pada peluru ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Maka, wahai umat Islam, jangan lagi kita letakkan rasa takut kepada makhluk. Letakkan rasa takut kita hanya kepada Allah. Dan yakinlah, selama kita berpegang kepada-Nya, takkan ada tangan yang dapat menyentuh kita kecuali dengan izin-Nya.

Kerana yang kita lawan bukan “kuasa besar dunia” dan yang ada bersama kita adalah Pemilik dunia dan seisinya.

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman.”
— Surah al-Hajj, ayat 38

 

Tabung Bangun Gaza
Ayuh hulurkan bantuan untuk bangunkan semula Gaza, Palestin
Infaq Sekarang