Dunia kini sudah menghampiri pada tahun 2025. Pelbagai evolusi dan kemajuan yang telah dikecapi terutamanya dunia teknologi yang berkembang dengan sangat pesat. Perkembangan ini memberikan peluang baru kepada semua golongan masyarakat, termasuk Orang Kurang Upaya (OKU). Salah satu kemajuan yang signifikan ialah penggunaan teknologi Braille yang membuka jalan bagi golongan ini untuk mendalami ilmu agama, khususnya dalam mengaji al-Quran. Artikel ini akan meneroka bagaimana teknologi ini bukan sahaja memudahkan ibadah tetapi juga mencipta peluang untuk kehidupan yang lebih bermakna bagi komuniti OKU.
Dahulu, golongan buta menghadapi kesukaran untuk belajar membaca abjad dan bagi orang Islam pula, kesukaran dalam mengenal huruf yang boleh membawa kepada mengaji al-Quran kerana kekurangan yang mereka hadapi dan bahan yang ada hanya sesuai bagi orang yang celik. Namun, dengan pengenalan mushaf al-Quran tulisan Braille, mereka kini boleh membaca dan memahami ayat suci secara berdikari. Mushaf ini ditulis menggunakan kod Braille yang unik, membolehkan mereka merasai huruf-huruf dengan sentuhan jari.
Antara kelebihan al-Quran Braille termasuk membolehkan pengguna membaca ayat al-Quran secara langsung tanpa bergantung kepada audio atau bantuan orang lain. Kombinasi titik-titik dalam tulisan Braille membentuk simbol dan huruf jawi dan baris. Setelah mempelajarinya, jari jemari para pelajar OKU dengan pantas meluncuri setiap kod braille dan melantunkan ayat al-Quran seperti orang celik. Selain itu, al-Quran Braille juga memberikan pembelajaran berterusan untuk mendalami ilmu tajwid, tafsir serta hafazan.
Perkara ini membesarkan lagi ruang lingkup pembelajaran orang OKU buta terhadap al-Quran, bukan sahaja mengaji tetapi berpeluang untuk lebih memahami konteks al-Quran sehingga mereka dapat memahami dan beramal dengannya dan membolehkan golongan ini untuk turut menyertai pelbagai pertandingan al-Quran tempatan mahupun pada peringkat antarabangsa.
Pada Tahun 2023, Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, muncul sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-63 bagi kategori lelaki di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Muhammad Qayyim yang berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan berasal dari Kelantan itu berjaya memperoleh markah sebanyak 94.96 peratus.
Walaupun teknologi ini membawa banyak manfaat, cabarannya masih ada, seperti kos tinggi untuk mendapatkan peranti Braille, tenaga mengajar dan kurangnya kesedaran masyarakat tentang pentingnya sokongan kepada golongan OKU. Oleh itu, usaha bersama antara institusi agama, NGO, dan masyarakat diperlukan dalam menyediakan akses yang lebih meluas kepada teknologi ini.
Kemajuan teknologi Braille ini membuktikan bahawa setiap individu, tanpa mengira kekurangan fizikal apa pun, mampu mendekati dan memahami al-Quran. Ia bukan sekadar alat, tetapi simbol bahawa Islam adalah agama rahmah dan inklusif untuk semua.
Dengan sokongan berterusan daripada masyarakat dan perkembangan teknologi, tiada lagi alasan untuk meninggalkan ibadah mengaji. Kita semua perlu menyokong usaha dalam membantu memperkasakan golongan OKU untuk menjadi lebih dekat dengan Allah dan menjadi sebahagian daripada komuniti yang taat dan berilmu.
Mengaji tanpa batas kini bukan lagi impian tetapi realiti yang boleh dicapai. Marilah kita bersam-sama membuka pintu ibadah untuk semua, kerana setiap jiwa berhak mendapat peluang yang sama dalam perjalanan menuju Ilahi. Teknologi adalah alat, tetapi semangat kasih sayang dan sokongan kitalah yang akan menciptakan perubahan yang sebenar.
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.