"Mewarisi Panji Perjuangan: Hidup Mulia, Sehingga Akhir Hayat"

Mereka bukan sekadar berjuang untuk meneruskan hidup, tetapi demi mendapatkan kemuliaan syahid. Ja’far bin Abu Talib dan Yahya Sinwar, dua tokoh besar yang terlahir pada zaman berbeza, namun menyusuri jalan yang sama – jalan para syuhada. Mari kita ikuti kisah penuh inspirasi ini, yang akan membangkitkan semangat jiwa kita untuk terus berjuang tanpa mengenal lelah. Persoalannya, apakah kita siap memikul panji yang ditinggalkan?

Dalam sejarah, terdapat kisah para sahabat Nabi yang tidak akan dilupakan, salah satunya adalah Ja’far bin Abu Talib yang dikenali dengan gelaran “At-Tayyar,”. Ja’far mengorbankan segalanya demi Islam, begitu juga dengan tokoh masa kini, Yahya Sinwar, yang syahid dengan penuh kemuliaan. Kisah mereka bukan sekadar kisah perjuangan tetapi menjadi teladan membina susuk tubuh keberanian, keteguhan iman, dan kepatuhan mutlak terhadap amanah yang diberikan.

Ja’far At-Tayyar dan Yahya Sinwar


Dalam Perang Mu’tah, Nabi Muhammad SAW berkata kepada tentera muslimin,
«إن قُتل زيد فجعفر، وإن قتل جعفر فعبد الله بن رواحة»


 “Sekiranya terbunuh Zaid, maka Ja’far akan menggantikannya. Jika Ja’far terbunuh, maka Abdullah bin Rawahah akan menggantinya” Ini menunjukkan bahawa Nabi dan para sahabat tahu, perjuangan ini sangat penting dan Nabi tahu mereka ini akan syahid. Ja’far menggalas tugas tersebut tanpa ragu walaupun beliau tahu pengakhirannya.

Begitu juga dengan Yahya Sinwar yang bukan hanya seorang pimpinan yang berada dalam Gaza, bahkan di barisan hadapan dalam perang. Beliau mengambil alih kepimpinan Ismail Haniyeh dalam suasana getir peperangan dan sedar bahawa ajalnya mungkin sudah dekat.

Ungkapan dari Yahya Sinwar:

“Hadiah yang paling besar yang musuh boleh berikan kepadaku, adalah membunuhku. Supaya aku boleh pergi kepada Allah SWT sebagai seorang syahid dengan tangan mereka. Sejujurnya aku lebih suka dibunuh oleh peluru berpandu F-16 daripada mati disebabkan Covid”.


Adakah beliau beralasan untuk tidak menerima tanggungjawab yang diberikan? Tidak, bahkan dengan kesungguhan dan telah terbukti, beliau syahid dalam pakaian dan kelengkapan perang menghadapi musuh.

Tanpa alasan menyahut seruan, walaupun nyawa menjadi taruhan. Maka, apa alasan kita untuk mengelak dari amanah yang diberikan?

Bergegas ke Medan Tanpa Alasan

Ja’far Bin Abu Talib menghabiskan masa bertahun di Habsyah sebelum kembali ke Madinah pada tahun ke-7 Hijrah. Pada tahun ke-8 Hijrah, beliau diangkat sebagai panglima di medan Mu’tah, walaupun hanya dalam masa yang singkat selepas kepulangannya. Tidak ada alasan darinya untuk menolak tugas walaupun sudah lama tidak bersama Nabi. Ja’far tetap teguh menyahut seruan jihad dengan penuh kesungguhan.

Begitu juga dengan Yahya Sinwar, yang dipenjarakan selama 23 tahun. Sebaik sahaja dibebaskan, beliau terus mengangkat panji perjuangan tanpa ragu, memimpin Hamas, dan menentang kezaliman Israel pada umurnya 50 tahun. Ketika usianya mencecah 63 tahun, beliau menggantikan Ismail Haniyeh yang syahid, meneruskan perjuangan tanpa alasan, terus mara ke hadapan.

Bagaimana pula dengan kita?

Teguh Mengejar Syahid Yang Mulia

Kisah syahid Ja’far amat mengesani hati kita. Dengan tangan terpotong, Ja’far tetap memegang panji Islam hingga Allah menggantikannya dengan sayap di syurga.

Dalam satu hadis daripada Ibnu Abbas, riwayat Al-Hakim, Nabi telah menceritakan kepada isterinya bahawa Ja’far sendiri telah datang berjumpa dengan baginda Nabi bersama Jibril dan Mikail, lalu menceritakan detik syahidnya beliau,

لقيت المشركين فأصبت في جسدي من مقاديمي ثلاثا وسبعين بين رمية وطعنة وضربة، ثم أخذت اللواء بيدي اليمنى فقطعت، ثم أخذت بيدي اليسرى فقطعت، فعوضني الله من يدي جناحين أطير بهما مع جبريل وميكائيل أنزل من الجنة حيث شئت

“Aku telah berhadapan dengan tentera musyrikin, lalu badanku di bahagian hadapan dipanah sebanyak 73 kali, ditambah lagi dengan tikaman dan libasan pedang. Aku pegang panji bendera dengan tangan kanan, laku terpotong tangan kanan aku. Kemudian aku pegang guna tangan kiri, terpotong juga. Lalu Allah telah menggantikan kedua tangan aku dengan sayap, aku dapat terbang bersama Jibril dan Mikail di syurga, aku boleh turun ke mana sahaja yang aku mahu”.Daripada kisah inilah Ja’far Abu Talib dianugerahkan gelaran At-Tayyar bermaksud boleh terbang.

Begitu juga Yahya Sinwar, yang meskipun cedera parah, beliau terus berjuang hingga diceritakan musuh memerlukan peluru kereta kebal untuk menghentikan perjuangannya. Kematian mereka ini bukan sia-sia; ia adalah kemuliaan yang direkodkan oleh sejarah dan teknologi moden. Dan seluruh dunia menyaksikan kemuliaan seorang pejuang. Persoalannya, siapakah yang akan menyambut panji yang mereka tinggalkan?

Hidup Mulia Atau Mati Syahid?

“Aku lebih suka mati sebagai seorang syahid daripada mati dengan keadaan yang tidak bermakna”, kata-kata As-syahid Yahya Sinwar.

Saat-saat akhir perjuangan Yahya Sinwar telah dirakam dron pengimbas rejim zionis yang mengesan seorang lelaki bertopeng dalam sebuah bangunan, dipenuhi debu pada tubuhnya, menyelubung mukanya dengan kain keffiyeh, sedang duduk di atas sofa. Tangan kanannya terputus berdarah, terlihat diikat dengan dawai besi dan di tangan kirinya memegang sebatang kayu. Seakan menunggu dron menghampiri sebelum melibas jatuh. Melihat dron yang tidak mendekati, lalu dicampakkan kayunya itu ke arah dron. Selang beberapa ketika, dentuman kereta kebal melepaskan pelurunya, tentera zionis bergerak masuk ke dalam bangunan dan menemui tubuh Yahya Sinwar yang sudah syahid.

Lemparan sebatang kayu ke arah dron menjadi rakaman terakhir Yahya Sinwar melawan tentera Zionis hingga ke titisan darah terakhir. Balingan yang mungkin tampak sekadar balingan biasa, namun jika diamati, ia melambangkan keberanian dan ketabahan tanpa batasan. Di sebalik tindakan yang nampak kecil ini, tersirat satu simbol penyambung panji perjuangan yang tidak akan putus, yang tidak akan dilunturkan walau apa pun cabaran yang dihadapi.

Kisah ini bukan sekadar kenangan, ia adalah cabaran buat kita. Beban panji yang dipikul ini, adakah sanggup kita teruskan, atau kita terus beralasan untuk mengelak dari tanggungjawab yang diberikan?

Tentang Kami

Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.

Berita Terkini

Sertai Kami

Podcast Remaja

Tabung Bangun Gaza
Ayuh hulurkan bantuan untuk bangunkan semula Gaza, Palestin
Infaq Sekarang