
Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT), bersama rakan strategik seperti Global Hayat, Perwira, dan Nisa Al-Khair, telah melancarkan Misi Bantuan Kecemasan Gaza melalui program Tabung Bangun Gaza. Dengan izin Allah, misi ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan anda kepada saudara-saudara kita yang amat memerlukan di Gaza. Berikut adalah kronologi perjalanan wakil misi kami ke bumi anbiya
Perjalanan Bermula: Terbang ke Mesir
Pada awal Disember, wakil KDT bersama rakan NGO berlepas ke Mesir dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. Transit di Abu Dhabi menjadi persinggahan sebelum melanjutkan perjalanan ke destinasi utama Mesir di Lapangan Terbang Cairo.
Tiba di Mesir: Persediaan Logistik
Di Mesir, pasukan misi meneruskan perjalanan bertemu dengan rakan NGO tempatan Khair Way untuk perbincangan kerjasama penghantaran bantuan masuk ke Palestin. Sumbangan yang akan dihantar masuk berupa 70 khemah dan 650 sleeping bed, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 1,200 penduduk Gaza
Bantuan yang Menuju ke Gaza
Kontena bantuan yang membawa khemah dan selimut tebal dijadualkan bergerak masuk dari Mesir melalui pintu sempadan Karem Abu Salem. Perjalanan yang mengambil masa 3 hingga 14 hari bagi kontena Misi Bantuan Kecemasan Gaza dipenuhi dengan cabaran logistik, namun dengan doa dan sokongan semua, bantuan ini akan sampai dengan selamat kepada penerima di Gaza.
Khemah-khemah yang dihantar masuk, mampu menampung kapasiti 5-7 orang sekeluarga, memberikan perlindungan kepada mereka di musim sejuk yang telah pun mengakibatkan 8 orang bayi meninggal dunia. Sumbangan sleeping bed pula akan memberi kehangatan kepada anak-anak kecil yang menggigil kedinginan. Moga setiap hasil usaha sumbangan ini akan menjadi asbab kebaikan di dunia dan bekal di akhirat.
Inspirasi Bumi Mesir: Harapan di Bumi Mikraj
Kehadiran pasukan misi juga membuka peluang untuk bertukar pandangan dengan NGO tempatan yang sehingga kini memberikan komitmen dalam meneruskan bantuan yang sampai kepada rakyat Gaza itu tidak terputus walaupun sekatan demi sekatan telah dilakukan oleh puak zionis Israel. Kita berharap dengan tidak terputusnya bantuan yang diberikan oleh pihak-pihak NGO kepada rakyat Gaza, mereka akan terus menampakkkan sinar untuk mereka terus bertahan dan kita akan dapat melihat Gaza bangkit semula.
Kesimpulan: Perjuangan Belum Selesai
Pasukan KDT pulang ke tanah air, namun lori kontena bantuan meneruskan perjalanan ke sempadan dan seterusnya ke Gaza. Misi yang dilaksanakan ini hanyalah permulaan. Semoga dengan sokongan dan doa anda yang berterusan, lebih banyak bantuan yang akan dapat dihantar pada masa hadapan, sehingga Palestin bebas sepenuhnya.
Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang. Semoga Allah memberkati setiap usaha anda dan menjadikan sumbangan ini sebagai amal jariah yang berkekalan. Marilah kita bersama-sama terus berdoa dan menyokong saudara kita di Gaza.
Hanif Mohammad Salleh
Pengurus Bumi Mikraj
Komuniti Dakwah Tarbiah
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.