Misi Jasa Jelajah Dakwah Sabah: Pulau Bum-Bum dan Sekitarnya

Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT) Mengorak Langkah Dakwah ke Sabah

Pada Disember 2024, pasukan Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT) melancarkan Misi Jasa Jelajah Dakwah ke Sabah. Misi ke-2 setelah penubuhan Maktab Tarbiah pertama di Sabah pada akhir 2022. Misi kali ini, destinasi utama misi ini adalah kawasan sekitar Semporna, termasuk Pulau Bum-Bum dan pulau-pulau kecil sekitarnya seperti Pulau Silungun dan Pulau Silapag. Dengan semangat menyemarakkan dakwah dan membantu masyarakat, misi ini bukan sekadar program kebajikan, tetapi juga usaha berterusan untuk memperkukuh pendidikan agama demi kesejahteraan ummah.

Menyantuni Asnaf di Pulau Silungun

Hari pertama misi menyaksikan kunjungan ke Pulau Silungun, sebuah pulau kecil yang terkenal dengan keindahan airnya yang jernih serta suasana tenang. Ketibaan pasukan KDT disambut dengan senyuman mesra penduduk setempat. Sambil menyantuni asnaf, pasukan turut berhadapan dengan cabaran unik, termasuk situasi air surut yang menyebabkan sampan perlu ditolak jauh ke laut dalam. Pengalaman ini memberi perspektif baharu terhadap kehidupan masyarakat setempat yang serba sederhana tetapi penuh kesyukuran.

Melangkah ke Pulau Silapag

Di Pulau Silapag, pasukan KDT menyempurnakan misi menyantuni komuniti di sana. Tinjauan mendalam dilakukan untuk memahami keperluan masyarakat. Salah satu kesimpulan utama daripada misi ini adalah keperluan sokongan yang lebih menyeluruh. Bantuan kebajikan one-off sahaja tidak mencukupi; usaha berterusan diperlukan untuk menaik taraf kehidupan mereka agar menjadi masyarakat yang berdaya maju dan bermaruah. KDT percaya bahawa dengan usaha bersama, kita mampu mencapai matlamat menjadikan Islam berdaulat dan terunggul

Pembinaan Maktab Tarbiah Pulau Bum-Bum

Di Pulau Bum-Bum, misi ini mencapai puncaknya dengan lawatan ke tapak pembinaan pusat pengajian Maktab Tarbiah. Bermula sebagai inisiatif kecil di Masjid Kampung Labuan Haji, program ini berkembang sehingga memerlukan bangunan khusus bagi menampung lebih ramai pelajar. Pada Oktober 2024, pembinaan maktab ini dimulakan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025. Maktab Tarbiah di atas air ini akan mampu menampung 250-300 pelajar, memberikan mereka peluang untuk mempelajari al-Quran dan agama dengan lebih mendalam.

Ramah Mesra dan Inspirasi di Pulau Bum-Bum

Pertemuan bersama anak-anak Maktab Tarbiah di Kampung Labuan Haji mencetuskan rasa terharu dan inspirasi. Anak-anak ini, yang sering disangka tidak akan berpeluang untuk belajar, kini berpeluang menggapai impian mereka. Ibu ayah mereka sangat mengimpikan anak-anak mereka ini berpendidikan lebih dari mereka. Dalam menyantuni, ibu ayah di sana, tidak disangka ramai ibu ayah mereka tidak berpeluang untuk belajar dan ada yang buta huruf. Dan peluang yang diberikan oleh KDT ini, sangat diterima baik oleh mereka. Barisan asatizah dan aktivis KDT yang bertugas di sana memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak mereka, menunjukkan keazaman luar biasa dalam menyemarakkan ilmu dan membina generasi Qurani.

Kolaborasi dengan Pegawai Pendidikan Daerah

Sebelum mengakhiri misi, pasukan KDT berkesempatan bertemu dengan Puan Hajah Rozita, Pegawai Pendidikan Daerah Semporna, serta timbalan pengarah setiap bahagian penting di Pejabat Pendidikan Daerah. Pertemuan ini membuka ruang perbincangan untuk meningkatkan pendidikan anak-anak pulau. Banyak idea dan cadangan dilontarkan demi maslahat anak-anak ini, termasuk memperkukuhkan kerjasama untuk membina generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga bermaruah.

Melangkah ke Hadapan dengan Harapan

Misi Jasa Jelajah Dakwah ke Sabah ini bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi sebuah langkah besar dalam usaha dakwah dan pendidikan. Dari Pulau Silungun ke Pulau Bum-Bum, KDT telah menyentuh hati dan kehidupan masyarakat, membawa harapan baharu untuk masa depan yang lebih cerah. Dengan sokongan masyarakat, inisiatif seperti Maktab Tarbiah akan terus berkembang, memastikan pendidikan agama yang berkualiti dapat dinikmati oleh semua. Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan menjadi inspirasi untuk kita semua terus berjuang demi Islam dan ummah.

 

Tentang Kami

Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.

Berita Terkini

Sertai Kami

Tabung Bangun Gaza
Ayuh hulurkan bantuan untuk bangunkan semula Gaza, Palestin
Infaq Sekarang