Ngarut Apa Cerita Ni??

Bayangkan ada sebuah permainan di mana nyawa manusia dipertaruhkan semata-mata untuk mendapatkan wang. Mesti ramai yang tahu tentang permainan ini. Bukan, ini bukanlah Mobile Legends atau Warcry. Nama permainan tersebut ialah Squid Game, sebuah fenomena yang pernah viral dan kini muncul semula dengan versi terbaru 2025. Tetapi persoalannya, adakah dunia Squid Game ini hanya sekadar hiburan, atau ia membawa mesej yang bertentangan dengan nilai Islam?

Dalam Islam, memelihara nyawa adalah tanggungjawab yang sangat penting. Nyawa tidak boleh dipermainkan, apatah lagi dipertaruhkan. Ia merupakan amanah Allah untuk menjaga diri daripada segala bentuk kemudaratan. Dalam dunia Squid Game, nyawa manusia dihapuskan tanpa belas kasihan dan sangat mudah. Situasi ini seolah-olah mencampakkan diri ke dalam perbuatan yang menyerupai bunuh diri. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula. [HR Bukhari (6047) dan Muslim (110)]

Hanya kerana wang, manusia rela menjadikan diri mereka murah. Meletakkan nyawa, demi wang yang tidak sama dengan harga sebuah nyawa. Di manakah nilai kemanusiaan kita apabila nyawa dipandang enteng demi kekayaan?

Jika kita perhatikan dengan lebih mendalam, Squid Game menunjukkan bagaimana materialisme menguasai kehidupan masyarakat. Dunia dijadikan fokus utama, seolah-olah ia adalah segalanya. Manusia dalam permainan ini sanggup menggadaikan maruah demi harta, walaupun melanggar prinsip moral dan kemanusiaan. Sebagai umat Islam, tidakkah kita terfikir? Islam mengajar bahawa dunia ini hanyalah penjara sementara, sekadar perhiasan yang tidak kekal. Namun, doktrin materialisme telah menjadikan nafsu sebagai “tuan” yang memaksa kita mengejar kekayaan melebihi segala-galanya.

Selain itu, Squid Game turut memperlihatkan bagaimana golongan miskin dan sangat memerlukan dieksploitasi. Mereka dipergunakan dan dipermainkan tanpa belas kasihan. Apa salah mereka? Dalam Islam, kita diajar untuk membantu golongan ini, memberikan harapan dan membantu memenuhi keperluan mereka, bukannya mempergunakan mereka untuk hiburan atau keuntungan yang merosakkan. Jadi, di manakah neraca keadilan kita?

Akhir sekali, mungkin ada yang menganggap Squid Game hanyalah kisah fiksyen biasa. Namun, ia sebenarnya lebih daripada itu. Sebagai umat Islam, kita perlu melihat dengan mata iman. Dunia yang ditonjolkan dalam Squid Game mengingatkan kita betapa bahayanya hidup tanpa keadilan, tanpa belas kasihan, dan lebih penting, tanpa iman dan Islam.

Umat manusia tidak memerlukan dunia seperti Squid Game. Apa yang umat perlukan ialah iman dan Islam sebagai panduan hidup. Fikirkanlah, apa guna hidup tanpa Islam? Jawapannya, hidup kita akan menjadi seburuk dunia dalam Squid Game.

Rujukan hadith:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1124-bayan-linnas-siri-74-tekanan-hidup-yang-membawa-bunuh-diri-hukum-dan-penyelesaiannya

Tentang Kami

Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.

Berita Terkini

Sertai Kami

Tabung Bangun Gaza
Ayuh hulurkan bantuan untuk bangunkan semula Gaza, Palestin
Infaq Sekarang