
Pendidikan agama merupakan salah satu ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap umat Islam. Selain dari ilmu akademik, pengetahuan tentang agama, Allah S.W.T., dan tuntutan syariat adalah suatu tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Kita bukan sahaja dituntut untuk belajar, tetapi juga untuk memahami dan mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian. Namun, hakikatnya di Malaysia masih banyak kawasan yang penduduknya tidak mendapat pendidikan agama yang mencukupi, salah satunya ialah masyarakat di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah.
Nabi SAW bersabda:
إذا أرادَ اللَّهُ بِعبدٍ خيرًا فقَّهَه في الدِّينِ، وزَهَّدَه في الدُّنيا ، وبصَّرَه عيوبَهُ
Maksudnya: “Sekiranya Allah inginkan kebaikan kepada seorang hamba, maka Allah akan memberikan kepadanya kefahaman di dalam agama, dizuhudkannya pada dunia dan ditunjukkan keaiban yang ada padanya.”
Pulau Bum Bum ialah sebuah pulau yang terletak berhampiran dengan Semporna, sebuah bandar kecil di timur Sabah, di bahagian Borneo Utara. Pulau ini hanya kira-kira satu kilometer ke timur bandar Semporna dan dipisahkan dari tanah besar oleh saluran air yang dinamakan Terusan Tando Bulong. Dengan keluasan 54-kilometer persegi, Pulau Bum Bum merupakan pulau kedua terbesar di Semporna. Pulau ini menjadi rumah kepada kira-kira 40,000 orang penduduk yang majoritinya kaum Bajau, sebuah kumpulan etnik pribumi tradisional yang tinggal di laut.
Selain menawarkan aktiviti snorkeling untuk pelancong, punca utama pendapatan penduduk di Pulau Bum Bum adalah melalui perniagaan rumpai laut dan aktiviti nelayan. Dari segi pendidikan, anak-anak pulau mendapat pendidikan asas melalui sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), 13 buah Sekolah Kebangsaan (SK), serta beberapa taska dan tabika yang disediakan untuk pendidikan awal kanak-kanak. Namun begitu, fasiliti pendidikan ini sudah berada berada dalam keadaan dhaif dan memerlukan penambahbaikan dalam kadar segera agar anak anak dapat mendapat Pendidikan dalam keadaan yang selesa dan kondusif.
Masyarakat Bajau di Pulau Bum Bum majoritinya beragama Islam. Namun, anak-anak pulau hanya menerima sedikit pendedahan terhadap pendidikan agama. Ramai di antara mereka masih belum mampu membaca Al-Quran dengan lancar, dan pengetahuan agama di kalangan penduduk juga masih rendah disebabkan guru dan program keagamaan yang terhad.
Ini merupakan seruan kepada kita semua untuk bersama-sama membantu menyediakan peluang untuk anak anak pulau bumbum mendapatkan pendidikan agama yang baik. Dengan harapan suatu hari nanti anak-anak ini dapat membesar dan menjadi generasi qurani yang menegakkan syariat Allah S.W.T., dan dapat membantu masyarakat mereka yang lain untuk belajar agama.
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.