
Kudat – Semporna, Sabah
Dalam detik-detik terakhir Ramadan 1446H, Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT) telah melaksanakan penutup bagi program Ramadan Terbaikku 2025 dengan penuh makna dan keberkatan. Perjalanan ini bukan sekadar misi, tetapi satu amanah menyantuni ummah hingga ke pelosok Borneo.
Bermula di Kudat bersama Atu Zero yang merupakan seorang pempengaruh dan pelawak terkenal, pasukan KDT meneruskan perjalanan dakwah ke Semporna. Misi kali ini membawa kami ke Maktab Tarbiah Kg Labuan Hj, Pulau Bum-Bum bagi menyampaikan Kotak Kasih Ramadan, berbuka puasa bersama anak-anak pulau, dan lebih utama, membawa anak muda disana untuk bersama-sama menghidupkan malam ramadan dengan qiyamul lail. Dengan penyertaan Atu Zero kali ini dapat menarik lebih banyak penyertaan dan sokongan masyarakat sekitar.
Kami melangkah lebih jauh dan menganjurkan qiyamullail satu juzuk bersama anak-anak Maktab Tarbiah Semporna. CEO Komuniti Dakwah Tarbiah, Ustaz Naim Rais, dijemput untuk mengimamkan sesi qiyamullail tersebut serta sempat beliau berkongsi sedikit perkongsian rohani untuk menaikkan lagi semangat anak anak muda yang turut serta..
Lebih menyentuh hati lagi apabila sambutan yang diberikan sangat luar biasa. Anak-anak ini sanggup beriktikaf tanpa tidur, menanti waktu bermulanya qiyam. Bangkit sendiri, tanya sendiri, “Bila kita mula solat?” Subhanallah, inilah semangat yang menyentuh jiwa kami.
Selain program pengisian Ramadan, kami turut berkesempatan menziarahi tapak pembinaan Maktab Tarbiah Semporna yang kedua di Pulau Bait. Lawatan ini membuka mata kami akan betapa perlunya kesinambungan pendidikan Islam di kawasan ini. Ramai anak-anak pulau yang berpotensi besar, mendambakan pendidikan agama yang konsisten.
Sumbangan berbentuk makanan ataupun barang barang keperluan hanyalah bersifat sementara. Bantuan yang lebih penting untuk kita hulurkan adalah penanaman akidah yang berterusan untuk anak anak di sana yang suatu hari nanti akan membesar menjadi daie dan menyampaikan islam di tempat mereka sendiri. Menyelamatkan masyarakat mereka daripada kejahilan agama dan menjadi mangsa kepada kerosakan jahiliyyah yang semakin berleluasa.
Program ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada sebuah harapan. KDT komited untuk terus berkhidmat dan membangunkan generasi harapan, generasi yang akan mempertahankan syiar Islam di bumi mereka sendiri.
Kami menyeru masyarakat untuk terus menyokong usaha pembangunan pendidikan Islam, sama ada melalui sokongan moral, tenaga, atau sumbangan.
Kerana jika bukan kita, siapa lagi?
Dan jika bukan sekarang, bila lagi?
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.