
Pernahkah kita terfikir mengapa sesuatu umat itu ditimpakan azab dan dilaknat oleh Allah SWT? Salah satu punca terbesarnya adalah apabila masyarakat mula bersikap ‘tutup mata’ dan meninggalkan tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).
Perkara ini telah dirakamkan secara jelas di dalam al-Quran melalui kisah Bani Israil:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا
يَفْعَلُونَ
“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” [Surah al-Ma’idah: 78-79]
Ayat di atas adalah satu peringatan keras buat kita. Mengulas mengenai ayat ini, Imam Abu Jaafar ath-Thabari menjelaskan dalam tafsirnya bahawa Allah ‘Azza wa Jalla melaknat golongan Yahudi kerana mereka berterusan melakukan kemungkaran, dan tiada siapa pun dalam kalangan mereka yang bangkit untuk mencegahnya.
Kesan meninggalkan tanggungjawab ini sangat mengerikan. Syaikh Muhammad bin Abdurrahman al-Mubarakfuri di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi turut memberikan amaran:
Jika masyarakat cakna dan mencegah pelaku maksiat, semua akan terselamat daripada azab Allah. Namun, jika kemaksiatan dibiarkan berleluasa, kebinasaan akan menimpa semua pihak tanpa terkecuali. Bala tidak akan sesekali memilih mangsanya.
Perlu diingat, apabila azab Allah diturunkan di sesuatu kawasan, ia tidak hanya menyasarkan si pelaku dosa sahaja. Orang yang soleh dan baik juga akan turut menerima akibatnya jika mereka hanya berdiam diri.
Firman Allah SWT:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” [Surah al-Anfal: 25]
Tugas mencegah kemungkaran bukanlah terletak pada bahu para agamawan semata-mata. Ia adalah amanah kita semua dengan bermula daripada pihak kerajaan yang memegang autoriti sehinggalah kepada rakyat biasa di jalanan.
Jika amalan Amar Makruf Nahi Mungkar ini terus dipandang remeh:
1. Pelaku maksiat semakin berani: Mereka tidak lagi segan silu melakukan dosa secara terang-terangan.
2. Cahaya kebenaran akan pudar: Nilai moral dan syariat perlahan-lahan terhakis daripada kehidupan masyarakat.
3. Keburukan bermaharajalela: Sampai satu tahap, kemungkaran menjadi ‘normalisasi’ dan sangat sukar untuk dibendung lagi.
Mudah kata; janganlah kita menjadi penyumbang kepada turunnya laknat dan bala Allah SWT hanya kerana sikap tidak peduli. Ayuh, jalankan peranan kita. Tegurlah dengan hikmah, cegahlah dengan kudrat yang ada.
Terus-lah laksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar!
Penulis:
Anwar Shahir
Pengurus Projek KDT
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.