
Sempena 3 Tahun Taufan Aqsa : Sejauh Manakah Kepedulian Umat Islam Terhadap Masjid Aqsa
Tiga tahun sejak Taufan Al-Aqsa menjadi satu titik besar yang kembali meletakkan persoalan Palestin di hadapan dunia. Tiga tahun yang tidak singkat.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai bentuk solidariti telah kita saksikan daripada sumbangan, boikot, perkongsian di media sosial, ceramah dan perbincangan untuk terus membawa isu Palestin kepada masyarakat agar ia tidak tenggelam dengan algoritma lain.
Namun selepas tiga tahun, persoalannya bukan lagi “Apa yang sedang berlaku di Palestin?” tetapi “Sejauh mana kepedulian itu masih hidup dalam tindakan kita?”.
Persoalan ini pernah disentuh dalam Forum Dua Tahun Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2025. Ketika itu, dibangkitkan bahawa masyarakat Malaysia telah melakukan pelbagai usaha, tetapi dalam masa yang sama timbul rasa seolah-olah semua yang dilakukan masih belum membawa perubahan seperti yang diharapkan.
Salah satu perkongsian penting dalam forum tersebut ialah apabila Ustaz Shuhaib Ar-Rumy menyebut bahawa pada awalnya masyarakat bergerak dengan sentimen dan emosi. Namun emosi tidak akan sentiasa berada pada tahap yang sama.
Oleh kerana itu, masyarakat perlu bergerak kepada apa yang disebut sebagai “strategic continuity” iaitu satu bentuk kesinambungan agar isu Palestin tidak hanya hidup ketika sesuatu tragedi berlaku atau ketika ia kembali menjadi perhatian dunia.
Di tahun ketiga ini, persoalan itu semakin penting.
Apa yang telah berlaku kepada sentimen dan emosi kita?
Adakah ia berkembang menjadi kefahaman, prinsip dan tindakan yang lebih konsisten?
Kerana jika kepedulian hanya bergantung kepada emosi, ia akan naik dan turun mengikut keadaan. Apabila Palestin memenuhi media sosial, perhatian meningkat. Apabila perhatian dunia beralih, kita juga perlahan-lahan bergerak kepada perkara lain. Akhirnya Palestin menjadi isu bermusim.
Tiga Paksi Utama Bagi Memastikan Isu Palestin Terus Hidup:
Mungkin ukuran kepedulian bukan sebanyak mana simbol solidariti yang pernah kita tunjukkan, tetapi sejauh mana kefahaman itu mempengaruhi pilihan dan tindakan kita.
Tindakan kecil tetap mempunyai makna
Kadangkala kita hilang semangat apabila tindakan yang dilakukan tidak menghasilkan perubahan segera. Kita berkongsi, mendidik, menyumbang dan bersuara. Namun keadaan Palestin masih belum berubah seperti yang diharapkan.
Jangan berhenti kerana usaha di peringkat masyarakat dan akar umbi tetap mempunyai kesan, boleh membina kesedaran, mempengaruhi masyarakat dan akhirnya memberi kesan kepada keputusan yang lebih besar.
Perubahan jarang berlaku melalui satu tindakan tetapi dibina daripada tindakan yang dilakukan berkali-kali secara istiqamah.
Masyarakat di luar Gaza mempunyai banyak kelebihan seperti kebebasan, teknologi, akses, ilmu dan kepakaran. Namun sejauh mana semua kemampuan itu benar-benar digunakan.
Tidak semua orang perlu melakukan perkara yang sama akan tetapi setiap orang mempunyai ruang untuk memastikan Palestin tidak terpadam daripada kesedaran masyarakat.
Seperti burung kecil pipit yang berusaha memadamkan api bakar yang sedang membakar Nabi Ibrahim AS.
Walau kecil di mata kita, ia boleh jadi besar di hadapan Allah SWT.
Dan besar pada mata rakyat Gaza yang sangat memerlukan dan berhajat bagi terus hidup dalam mempertahankan identiti Palestin.
Selepas tiga tahun, apa yang berlaku?
Pada tahun pertama, emosi masih kuat. Masuk tahun kedua, persoalan tentang kesinambungan semakin penting.
Dan kini selepas tiga tahun, mungkin sudah tiba masanya untuk kita bertanya:
Adakah ilmu kita tentang Palestin semakin bertambah?
Adakah suara kita masih ada?
Adakah generasi muda masih dididik?
Adakah pilihan kita masih dipengaruhi oleh prinsip yang pernah kita pegang?
Adakah Palestin dan Masjid Al-Aqsa masih mempunyai ruang dalam doa, perbualan dan kesedaran kita?
Tiga tahun Taufan Al-Aqsa bukan hanya ulang tahun untuk mengingati apa yang telah berlaku tetapi ruang untuk menilai perubahan dalam diri kita.
Sejauh mana kita telah bergerak daripada emosi kepada kefahaman?
Daripada simpati kepada prinsip?
Daripada kesedaran kepada tindakan?
Dan daripada tindakan bermusim kepada kesinambungan?
Kerana selepas tiga tahun, persoalannya bukan lagi sama ada kita pernah peduli.
Persoalannya: Adakah kita masih peduli, dan apakah yang kita lakukan dengan kepedulian itu?
-Bumi Mikraj
-Youtube : (Forum 2 Tahun Taufan Al Aqsa)
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.