
وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔایَـٰتِ رَبِّهِۦ فَأَعۡرَضَ عَنۡهَا وَنَسِیَ مَا قَدَّمَتۡ یَدَاهُۚ إِنَّا جَعَلۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ أَكِنَّةً أَن یَفۡقَهُوهُ وَفِیۤ ءَاذَانِهِمۡ وَقۡرࣰاۖ وَإِن تَدۡعُهُمۡ إِلَى ٱلۡهُدَىٰ فَلَن یَهۡتَدُوۤا۟ إِذًا أَبَدࣰا
“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya”
• Surah al-Kahfi 57
Ayat ini bukan sekadar huruf biasa seperti buku novel dan kalam motivasi murahan di atas kertas. Ia adalah hukuman Allah yang tercatat di mana dakwat langit yang menampar siapa sahaja yang membacanya sambil terkebil-kebil namun tetap enggan berubah.
Allah menyebutkan dua golongan yang paling zalim, paling derhaka, paling jahat di antara sekalian manusia.
Golongan pertama adalah mereka ini yang sudah mendengar kalam Allah swt, sudah tahu suruhan dan laranganNya, sudah faham mana yang halal dan mana yang haram, namun dengan selamba tidak ambil endah membelakanginya. Bukan kerana tidak tahu. Tetapi kerana memang sudah tidak mahu tahu.
Golongan kedua pula adalah mereka yang membuat dosa, tapi tidak rasa apa-apa langsung. Dosa itu tidak dihisab dalam hati, tidak diinsafi dalam malam yang gelap, tidak disesali walau sedetik mahupun sesaat. Dosa itu ditelan tanpa rasa pahit, diulang tanpa rasa malu, dan dilupakan seperti membuang tisu terpakai. Hina sungguh.
Inilah mereka. Bukan orang yang tidak pernah diperingatkan. Bukan orang yang tidak pernah dengarkan seruan hak kebenaran. Tetapi orang yang sudah tahu, sudah dengar, sudah faham lalu memilih untuk buat-buat lupa.
Apabila dinasihati, mereka kononnya mengangguk. Apabila diingatkan, mereka berkata “ya saya”, “okay, okay”, “aku faham”. Tetapi disebalik itu, apabila pintu ditutup dan tiada siapa melihat, hidup mereka kekal seperti sediakala. Langkah mereka ini tidak berubah, hati tidak bergetar, amal tidak bertambah.
Peringatan Allah lalu begitu sahaja, seperti angin singgah di antara dahan dan sebenarnya tidak meninggalkan apa-apa.
Kerana sikap inilah dan lantas kerana hati yang keras, kerana telinga yang sengaja dipekakkan , Allah swt dengan kuasa mutlak nya sebagai Tuhan Yang Maha Esa pun menutup pintu hati mereka. Bukan hanya dengan sehelai lapisan mahupun tutupan. Bahkan berlapis-lapis. Satu lapis demi satu lapis, setiap kali mereka memilih maksiat di atas ketaatan, setiap kali mereka memilih syahwat di atas syariat-Nya.
Lama-kelamaan, hati itu tidak lagi dapat ditembus cahaya kebenaran. Keras seperti batu. Sejuk seperti abu. Ayat-ayat tawfiq dan hidayah Allah mengetuk pintu hati mereka itu, tetapi tiada siapa yang sahut menjawab di dalam.
Mereka mula menikmati lazatnya dosa. Mereka mula membenci peringatan. Mereka mula memusuhi orang yang mengajak kepada kebaikan. Mereka bukan sahaja meninggalkan kebenaran namun mereka memeranginya. Bukan sahaja memang tidak mahu menuju cahaya tetapi hakikatnya mereka ini berusaha memadamkannya.
Dan bila sampai ke peringkat itu, Allah taala berfirman:
فَلَن یَهۡتَدُوۤا۟ إِذًا أَبَدࣰا
“mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya”
Kalimat ini wallahi sungguh menakutkan. Selama-lamanya sudah pasti.
Nabi SAW utusan mulia pernah memberi amaran yang kini kita sudah pun saksikan terjadi di sekeliling kita:
وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَظْهَرَ الْفُحْشُ وَالتَّفَاحُشُ، وَقَطِيعَةُ الرَّحِمِ، وَسُوءُ الْمُجَاوَرَةِ، وَحَتَّى يُؤْتَمَنَ الْخَائِنُ وَيُخَوَّنَ الْأَمِينُ
“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga muncul perkataan keji, kebiasaan berkata keji, memutus hubungan kerabat, keburukan bertetangga, dan sehingga orang yang khianat diberi amanah (kepercayaan) sedangkan orang yang amanah dianggap berkhianat”
• HR Ahmad
Lihatlah sekeliling. Adakah ini masih terasa seperti khayalan mahupun mimpi? Ataupun sudah pun menjadi berita terkini yang sering kita dengari?
Maka berhati-hatilah.
Bukan sahaja dengan dosa yang besar dan jelas terpampang. Tetapi dengan kelazatan yang perlahan-lahan menumpulkan serta menghilangkan rasa bersalah. Dengan normalisasi yang sedikit demi sedikit mematikan kepekaan hati terhadap noda. Dengan sikap sambil lewa terhadap perintah Allah yang hari ini kelihatan kecil, tetapi esok membina tembok besar antara kita dan hidayahNya.
Kalam Allah SWT bukan sekadar hiasan di dinding. Bukan bacaan untuk mencari berkat semata-mata. Sungguhnya adalah tali-tali bantuan yang dihulurkan kepada mereka-mereka yang mahu bertaut.
Siapa yang bertaut, ia sudah pasti selamat. Siapa yang melepaskannya, ia pasti terjatuh dan berkemungkinan ia langsung tidak sedar pun bila kakinya sudah menginjak ke tepi gaung.
Moga Tawfiq dan HidayahNya tetap pada kita semua.
*gambar di bawah adalah cuplikan katanya “scene panas” drama terkini yang tular artis ketaksuban ummat kita. Bukan isu malu pada manusia, pada Allah apatah lagi. Taubat segera. Ummah sedang melihat dan generasi sedang mencontohi kalian

Sumber: Facebook – Anwar Shahir
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.