
Dari lautan Mediterranean hingga ke hati umat Islam di seluruh dunia, Global Sumud Flotilla 2025 membuka lembaran baharu kebangkitan kesedaran ummah terhadap Palestin, dan menghidupkan kembali makna sebenar “sumud”.
Sumud ialah satu perkataan Arab (صمود) yang bermaksud teguh, sabar, dan tidak menyerah walau dalam penderitaan. Ia bukan sekadar istilah, tetapi jiwa perjuangan rakyat Palestin yang telah bertahan selama lebih tujuh dekad di bawah penjajahan.
Dari tanah Gaza yang dibelenggu, lahir satu bahasa yang kini dipahami oleh seluruh dunia, bahasa ketabahan, keberanian dan keimanan. Hari ini, sumud tidak lagi hanya bergema di bumi Palestin, tetapi telah menjadi bahasa global umat yang menolak kezaliman.
Pada penghujung Ogos 2025, dunia sekali lagi menyaksikan makna sebenar sumud di atas lautan. Puluhan kapal kecil dengan layar putih berlepas dari pelabuhan Barcelona, Genoa, Otranto dan Djerba menuju ke Gaza. Lebih 500 aktivis dari 44 negara menaiki kapal ini. Mereka berlayar bukan untuk berperang, tetapi untuk membawa bantuan, doa dan solidariti.
Inilah Global Sumud Flotilla (GSF). Sebuah misi kemanusiaan terbesar sejak Gaza Freedom Flotilla pada tahun 2010 yang pernah diserang di perairan antarabangsa hingga meragut 10 nyawa. Kini, selepas 15 tahun, semangat itu kembali berlayar dengan kekuatan baru, lebih tersusun, lebih matang, dan berlandaskan nilai sumud yang hidup dalam jiwa para sukarelawan.
“Kami bukan datang untuk berperang. Kami datang untuk menyampaikan mesej bahawa Palestin tidak pernah sendirian.”
— Peserta misi Global Sumud Flotilla 2025
Ini adalah misi yang damai, apa yang mereka bawa ialah ubat-ubatan, makanan, dan keteguhan hati yang lahir daripada semangat sumud. Di atas kapal yang dihembus angin kencang dan ancaman serangan, sumud menjadi tenaga penggerak, menggantikan ketakutan dengan harapan.
Lebih 40 kapal daripada pelbagai organisasi antarabangsa berlayar serentak, menjadikan GSF 2025 sebagai usaha maritim kemanusiaan terbesar dalam sejarah moden. Walaupun misi tidak sampai ke destinasi yang diingini, misi untuk membawa semangat yang tidak pernah berhanti berjuang harus diteruskan.
Misi flotilla bukan sekadar menghantar bantuan ke Gaza. Ia membawa makna simbolik, bahawa dunia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman. Dengan slogan “Break The Siege, Break The Silent,” Global Sumud Flotilla menggerakkan satu gelombang kesedaran baru di seluruh dunia.
Walaupun kapal tidak berjaya berlabuh di bumi Gaza, namun misi yang lebih besar telahpun dicapai. Dunia kembali membuka mata, berbicara tentang Palestin, bukan dengan simpati semata-mata, tetapi dengan rasa tanggungjawab.
Dari masjid ke universiti, dari media sosial ke pentas antarabangsa, manusia mula bertutur dalam bahasa yang sama, bahasa sumud, bahasa yang teguh menuntut keadilan dan kemanusiaan.
Global Sumud Flotilla telah membangkitkan semula kesedaran bahawa pembebasan Palestin bukan isu politik semata-mata, tetapi tanggungjawab aqidah dan kemanusiaan.
Selagi umat Islam berpegang pada nilai keadilan, kasih sayang dan ketabahan, selagi itulah mereka menjadi sebahagian daripada perjuangan ini. Flotilla ini menjadi isyarat bahawa sumud bukan hanya milik rakyat Gaza, tetapi warisan seluruh umat Islam yang beriman kepada kebenaran.
“Pembebasan Palestin bukan sekadar menunggu keajaiban.
Ia menuntut kita membina kesedaran, ilmu dan perpaduan umat.
Inilah tanggungjawab setiap generasi.”
— Ahmad Naim Mohd Rais, Ketua Pegawai Eksekutif KDT
Di Malaysia dan seluruh Nusantara, gema sumud kini diterjemahkan dalam bentuk baru. Melalui kerja pendidikan, media dan kemanusiaan, Komuniti Dakwah Tarbiah (KDT) memperkukuh peranan ummah untuk menyambung pelayaran ini, bukan sahaja di laut, tetapi di medan tarbiah dan dakwah.
KDT percaya bahawa sumud bukan hanya tentang bertahan dalam tekanan, tetapi tentang mendidik hati untuk terus kuat berbuat kebaikan walau di tengah ujian. Inilah bentuk sumud yang mesti diwarisi oleh generasi harapan. keteguhan yang berpaksikan iman dan keyakinan kepada janji Allah.
Global Sumud Flotilla 2025 membuktikan bahawa kapal boleh dihalang, tetapi jiwa yang teguh untuk pembebasan tidak akan dapat dikalahkan. Ia hidup dalam setiap jiwa yang tidak tunduk pada kezaliman, dalam setiap doa yang mengiringi perjuangan, dan dalam setiap usaha kecil yang menegakkan keadilan.
Setiap pelayaran membawa mesej yang sama: Bahawa umat yang bersatu atas nama kebenaran tidak akan mudah dikalahkan. Selagi semangat sumud hidup dalam hati umat, selagi itu perjuangan untuk Palestin akan terus menyala, di laut, di darat, dan di hati manusia yang beriman.
“Dan janganlah kamu lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, sedangkan kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman.”
(Surah Ali Imran, ayat 139)
Hari ini, sumud bukan lagi hanya kisah ketabahan rakyat Palestin. Ia adalah warisan spiritual dan moral bagi seluruh umat Islam bahawa di sebalik setiap ujian, ada ruang untuk teguh berdiri. Kapal mungkin tidak sempat tiba di Gaza, tetapi semangat sumud telah sampai ke seluruh dunia.
Fakta & Garis Masa Global Sumud Flotilla
Berikut ringkasan sejarah yang menjadi latar kepada kebangkitan misi sumud global tahun ini:
Tahun / Tarikh | Peristiwa Penting |
2010 | Gaza Freedom Flotilla diserang oleh tentera Zionis; 10 aktivis terkorban. |
2011–2018 | Beberapa misi flotilla (2011, 2015, 2016, 2018) berlayar ke Gaza namun dihalang tiba ke destinasi. |
31 Ogos 2025 | Gelombang pertama Global Sumud Flotilla berlepas dari Barcelona (Sepanyol), Genoa (Itali), Otranto (Itali) dan Djerba (Tunisia). |
17–18 September 2025 | Kapal-kapal flotilla memasuki “zon kuning” antarabangsa berhampiran Cyprus–Palestin, dengan pemantauan ketat tentera laut Zionis. |
Akhir September 2025 | Dunia kembali memberi tumpuan kepada isu Gaza; liputan media antarabangsa meningkat mendadak. |

Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.