Generasi Harapan: Dari Luka Kepada Cahaya

Hari ini, kita hidup dalam masyarakat yang semakin rapuh. Lihat sahaja berita yang terpampang saban hari. Kanak kanak dibuli hingga trauma, remaja tanpa rasa takut melakukan jenayah dan maksiat, malah ada yang bangga menunjukkannya di media sosial.

Apakah yang sedang berlaku pada generasi kita?

Mengapa amanah semakin dipinggirkan, seolah-olah ia tidak lagi bernilai? Apakah maruah dan kebenaran kini begitu murah hingga boleh dibeli dengan wang ringgit? Sampai bila kita akan membiarkan sistem kehidupan ini terus dipenuhi kepincangan tanpa kembali kepada panduan Allah?

Bukankah akar segala kerosakan ini adalah kerana kita meninggalkan al-Quran? Jika al-Quran hanya dibaca ketika kematian, bagaimana generasi ini mampu hidup dengan jiwa yang segar? Apakah kita rela membiarkan anak-anak kita membesar tanpa pedoman, tanpa takut kepada halal dan haram, dan tanpa gentar kepada azab Allah?

Namun, kita perlu sedar, kejahilan dan kerosakan ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada zaman Rasulullah SAW, masyarakat Arab jahiliyyah juga hidup dalam keruntuhan moral, penindasan, dan kezaliman yang luar biasa. Tetapi Rasulullah datang dengan solusi yang paling sempurna: mengembalikan manusia kepada al-Quran.

Daripada bangsa yang suka berperang, menanam anak perempuan hidup-hidup, dan menindas yang lemah, lahirlah generasi yang beriman, adil, berakhlak, dan memimpin dunia. Semuanya kerana mereka tunduk kepada bimbingan wahyu.

Namun, generasi ini masih punya harapan…

Untuk keluar daripada kegelapan hari ini, tiada solusi lain selain kembali kepada al-Quran.

Didik anak-anak dengan cinta kepada kalam Allah sejak kecil, 

Hidupkan kembali halaqah dan majlis ilmu yang mengajarkan al-Quran, jadikan al-Quran bukan sekadar bacaan tetapi juga seagai panduan hidup yang memerlukan kepada kefahaman.

Sudah tiba masanya untuk kita kembali menjadikan al-Quran sebagai asas dalam pentadbiran, pengadilan, dan setiap sudut kehidupan kita.

Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌۭ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah Yunus : 57)

Dalam ayat ini, Allah memberitahu bahawa al-Quran adalah “Syifa'” yang dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh manusia sejagat, masalah hati, masalah jahiliyyah, masalah kezaliman, masalah maksiat yang berleluasa dan sebagainya. solusi sudahpun ada, menunggu kita beriman dan mengamalkannya bersungguh-sungguh sahaja.

Ayuhlah kita mulakan perubahan. Bermula dengan diri sendiri, keluarga, dan seterusnya masyarakat. Hanya dengan al-Quran, kita mampu membina semula sebuah generasi yang teguh di atas kebenaran dan berpegang dengan panduan Ilahi.

Tabung Bangun Gaza
Ayuh hulurkan bantuan untuk bangunkan semula Gaza, Palestin
Infaq Sekarang