30an = Tua? Atau Baru Masuk Usia Terbaik

30-an = Tua? Atau Usia Kemuncak?

Masuk umur 30-an, ramai sahabat, ahli keluarga, malah media sosial sering membawa naratif bahawa usia ini adalah permulaan “tua” dan sinonim dengan penyakit. Video trending di TikTok, Facebook dan Instagram pun banyak mengulang konotasi sama. Persoalannya: betulkah? Adakah normal bila umur 30-an kita mula ditimpa penyakit, atau sebenarnya ia berpunca daripada minda yang menyerah kalah?

30an dikira tua? Apa definisi tua? Jika kita merujuk World Health Organisation (WHO) definisi usia tua bermula pada umur 60 tahun. Apa kepentingan terma “tua” ni pada masyarakat adalah pada usia ini manusia mengalami perubahan fizikal, mental dan sosial yang ketara. Namun kemajuan teknologi perubatan pada masa kini membawa kepada populasi dunia yang menua, maksudnya lebih ramai orang tua berbanding orang muda (Orang tua makin hidup lebih lama).

Oleh itu, sepatutnya penyakit hadir pada usia 60 tahun dan keatas. Kembali kepada persoalan tadi, umur 30an ni normalkah mula berpenyakit? Cuba kita lihat pada generasi terdahulu? Pada usia berapa Rasulullah dikurniakan wahyu yang pertama? Pada usia berapakah Rasulullah dan para sahabat giat dan hebat dalam menyebarkan Islam ke 1/3 dunia? Sama-sama kita buat homework dan cari jawapan detail. Jawapan mudahnya di usia 30-50 tahun ini sepatutnya usia kemuncak bagi kita, bukan sebaliknya.

Tapi bila saya lihat pada diri sendiri, ada sedikit kebenaran juga. Sendi-sendi dah tak se-fleksibel dahulu. Tapak kaki dah mula sakit bila bangun pagi. Perut dan mendahului kita. Persoalan susulan, kalau benda ni tak normal, dari mana datangnya semua gejala-gejala ini. Tanggapan saya, semua ini berpunca daripada mindset yang datang dari stigma masyarakat. Tanpa sedar kita mula menerima itulah norma baharu. Adakah patut kita terima?

Bilamana kita mula menerima idea bahawasanya penuaan bermula pada usia 30 tahun, maka kita sudah kalah dengan minda sendiri. Kekalahan ini tak diungkapkan dengan kata2, tetapi pada perbuatan dan hati. Kita mula rasa tiada harapan. Membawa kepada penyerahan pada takdir kononnya. Sampailah satu tahap yang terendah, akan berlaku 2 reaksi. Reaksi pertama menyedari realiti penyakit dan tuntutan hidup yang masih banyak perlu diselesaikan. Realiti kedua merasakan sudah terlewat dan berserah sepenuhnya pada takdir tanpa usaha perbaikinya.

Melihat kepada kisah2 teladan zaman sahabat, tabi tabiin memberi satu sinar harapan bahawasanya norma yang dilaung-laungkan ini sebenarnya salah dan perlu disanggah. Umat masa kini sepatutnya merasakan umur 30-50 tahun ini adalah kemuncak usia kita untuk melakukan yang terbaik agar kita dapat menua dengan baik (sihat) dan pergi menghadap sang pencipta dengan tenang (setelah beramal sebaiknya sepanjang hayat). Tapi macam mana dengan yang dah mula berpenyakit?

Kesimpulan yang saya dapati adalah norma yang ditetapkan oleh masyarakat ini bukan semestinya satu kenyataan yang wajib diterima. Allah dah beri kita contoh yang terbaik untuk kita teladani, tapi kita pilih untuk ikut trend masa kini. Kembalikan semula pedoman utama hidup kita kepada Allah dan Rasul. Bagi mereka yang dah mula ada tanda2 penyakit kronik di usia 30an, itu bukan bermakna anda sudah kalah. Masih ada harapan untuk Kembali sihat dan menjalani kehidupan yang lebih baik daripada yang sediakala. Tips saya boleh kongsikan kepada semua dan diri saya sendiri adalah pilih satu perubahan positif dalam hidup — apa sahaja, kecil atau besar — dan lakukan secara istiqamah. Fokus pada satu sahaja, dan perubahan positif akan mula kelihatan. Kalau ambil satu tips dari buku atomic habits, kita hanya perlu lakukan perubahan kecil yang konsisten untuk melihat perubahan yang drastik. Sabar dan trust the process.

#ArtikelKDT
#PemudaHijrah
#KomunitiDakwahTarbiah

Tabung Bangun Gaza
Ayuh hulurkan bantuan untuk bangunkan semula Gaza, Palestin
Infaq Sekarang