
“Wahai para pemimpin, cendekiawan dan ulama dunia Arab, kalian adalah lawan kami di hadapan Allah. Kalian juga adalah musuh kepada setiap anak yatim, setiap anak yang kelaparan, yang kalian khianati dengan kebisuan kalian.” – Abu Ubaidah, Jurucakap al-Qassam
Kata-kata ini bukan sekadar jeritan emosi, tetapi sebuah hakikat yang menggetarkan hati. Di hadapan Allah, setiap pemimpin dan ulama akan dipersoalkan tentang amanah mereka. Namun, betapa ramai di antara mereka yang memilih untuk diam di saat umat sedang tenat, seolah-olah beban ini tidak pernah terpikul di bahu mereka.
Hari ini kita menyaksikan anak-anak kecil kehilangan ibu bapa, rumah tangga hancur akibat peperangan, dan generasi muda yang membesar dengan trauma kelaparan serta kehilangan. Dunia menyaksikan derita ini, tetapi suara mereka yang sepatutnya menjadi pelindung iaitu para pemimpin, cendekiawan, dan ulama seringkali tidak kedengaran. Lebih memilukan, ada yang malah berdiri bersama penguasa zalim, meninggalkan umat dalam kehinaan.
Allah telah memperingatkan dalam al-Qur’an bahawa amanah adalah sesuatu yang wajib ditunaikan dengan penuh keadilan. Firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil…”
(Surah An-Nisa’: 58)
Namun, apabila amanah itu dipandang ringan, lahirlah generasi yang hilang arah, anak yatim yang tidak terbela, fakir miskin yang terus lapar dan dilaparkan, dan umat yang hilang keyakinan kepada kepemimpinan Islam. Inilah pengkhianatan yang paling besar, bukan sahaja terhadap manusia, bahkan terhadap Allah yang telah memberikan amanah kepemimpinan itu.
Lebih menyedihkan, kezaliman tid
ak hanya datang daripada tangan-tangan yang menindas. Kezaliman juga hadir daripada mereka yang memilih untuk berdiam diri. Diamnya seorang alim ketika kezaliman berlaku adalah bentuk pengkhianatan yang lebih halus tetapi amat berbahaya. Suara ulama yang sepatutnya menjadi cahaya penunjuk jalan padam di saat umat sedang terkapai dalam kegelapan.

Rasulullah ﷺ telah pun memberi amaran tentang keadaan ini. Baginda bersabda bahawa akan tiba suatu masa di mana umat-umat lain akan berkerumun menyerang umat Islam sebagaimana orang-orang yang lapar mengerumuni hidangan mereka. Ketika para sahabat bertanya apakah j
umlah umat Islam sedikit pada waktu itu, Baginda menjawab: “Tidak, bahkan kamu ramai, tetapi kamu seperti buih-buih di lautan.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Hadith ini benar-benar kita saksikan hari ini. Jumlah umat Islam terlalu ramai, tetapi kekuatan mereka tiada. Kita umpama buih di permukaan laut. Banyak, tetapi ringan, mudah dihempas ombak, dan tidak memberi apa-apa kesan. Kelemahan ini tidak lain tidak bukan berpunca daripada kelalaian pemimpin dan ulama yang membiarkan umat lemah dengan keheningan mereka sendiri.
Lebih jauh lagi, Rasulullah ﷺ menjelaskan punca utama kelemahan ini, iaitu penyakit wahn. Dalam hadith lain, Baginda menyebut bahawa Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh terhadap umat Islam, lalu memasukkan penyakit wahn ke dalam hati umat ini. Para sahabat bertanya, apakah itu wahn? Baginda menjawab: “Cintakan dunia dan takut mati.” (Riwayat Abu Daud)
Inilah penyakit yang sedang melumpuhkan umat Islam hari ini. Para pemimpin terlalu cinta kepada harta, jawatan, kekuasaan, kemewahan dan keselesaan. Para cendekiawan dan ulama pula sebahagiannya lebih takut kehilangan kedudukan berbanding takutkan kemurkaan Allah. Mereka tidak lagi berani mempertahankan kebenaran, kerana hatinya terlalu melekat pada dunia. Ketakutan kepada mati pula menutup keberanian untuk berjihad, sehingga umat Islam menjadi hina di mata dunia.
Kata-kata pedih di awal tulisan ini sebenarnya adalah cerminan buat kita semua. Umat ini sedang diuji dengan kelemahan yang berpunca daripada penyakit wahn, berpunca daripada amanah yang diabaikan, dan berpunca daripada diamnya mereka yang sepatutnya bersuara. Jika keadaan ini berterusan, maka umat Islam akan terus binasa, menjadi buih-buih di lautan yang terhanyut tanpa arah.
Namun, harapan itu masih ada. Selagi ada suara yang berani lantang menyuarakan kebenaran, selagi ada jiwa yang tidak tunduk pada cinta dunia, selagi ada pemimpin, cendekiawan dan ulama yang takut kepada Allah lebih daripada mereka takut kepada manusia, maka kebangkitan itu akan kembali.
Umat ini pernah bangkit daripada kehinaan dengan izin Allah, dan umat ini pasti boleh bangkit lagi. Tetapi syaratnya, kita mesti mengembalikan amanah kepada tempatnya, menghidupkan suara kebenaran, dan membuang penyakit wahn daripada hati kita.
Kami menggerakkan projek Dakwah Remaja, Pendidikan Qurani dan Bantuan Kemanusiaan pada masyarakat.